Khamis, 4 Oktober 2012

Jempol Sebuah Luak (Daerah Adat) Di Negeri Sembilan

Jempol adalah salah satu dari tiga belas Luak (Luhak dalam bahasa Minang) adat yang terdapat di dalam Negeri Sembilan. Tiga belas Luak itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu:
1.      Luak Undang
2.      Luak Tanah Mengandung
3.      Luak adat .

LUAK UNDANG ADA LIMA.:
1.      Luak Sungai Ujong diketuai oleh Dato’ Undang yang bergelar Dato’ Kelana Putra.
2.      Luak Jelebu diketuai oleh Dato Undang yang bergelar Dato’ Andika Mandulika Menteri Akhir Zaman.
3.      Luak Rembau diketuai oleh Dato’ Undang yang bergelar Dato’ Sedia Raja atau Dato’ Lela Maharaja.
4.      Luak Johol diketuai oleh Dato’ Undang yang bergelar Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan.
5.      Luak Tampin diketuai oleh Tunku Besar Tampin.

LUAK TANAH MANGANDUNG JUGA ADA LIMA.
1.      Luak Ulu Muar diketuai oleh Dato’ Penghulu bergelar Dato’ Bendahara Setia Maharaja Lela Pahlawan.
2.      Luak Jempol diketuai oleh Dato’ Penghulu yang bergelar Dato’ Lela Putera Setiawan.
3.      Luak Inas diketuai oleh Dato’ Penghulu yang bergelar Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walat Kuala Dioh.
4.      Luak Terachi diketuai oleh Dato’ Penghulu yang bergelar Dato’ Anjah Pahlawan Orang Kaya Lela Setiawan.
5.      Luak Gunung Pasir diketuai oleh Dato’ Penghulu yang bergelar Dato’ Orang Kaya Mempasir Setiawan.

 LUAK BERADAT PULA ADA TIGA.
1.      Luak Air Kuning diketuai oleh Dato’ Penghulu Pesaka Air Kuning bergelar Dato’ Orang Kaya Setiawan.
2.      Luak Gemencheh diketuai oleh Dato’ Penghulu Pesaka Gemencheh bergelar Dato’ Orang Kaya Setiawan.
3.      Luak Linggi diketuai oleh Orang Besar Daerah Linggi bergelar Dato’ Muda Linggi.


SEMPADAN LUAK (MENGIKUT TULISAN DATO’ KOMO HJ DUAJI)

Luak Jempol merupakan salah satu daripada lima luak yang meliputi luak ‘tanah mengandung’. Di samping penghulu Jempol menjadi tunggak pemerintahan beradat, diwujudkan pula jawatan Tengku Muda Serting bagi luak berkenaan. Ini bermakna luak berkenaan meliputi juga Serting. Sempadan luak berkenaan di ungkapkan dalam perbilangannya :-

            Batasan Muar, sepanjang Sungai Muar
            Batasan Jempol, sepanjang Sungai Jempol
            Batasan Johol, sepanjang Sungai Jelai

Dengan ini bermakna sempadan yang dikatakan luak Jempol itu meliputi kawasan bahagian hulu sungai hingga ke kuala Sungai Jempol. Termasuklah Guntur, Tengkek, Padang Lebar, Terentang, Batu Kikir, Serting Ulu, Serting Hilir, Kuala Jempol, Bahau, Ayer Hitam, Keru, Jerjak, Sungai Jelutong, Seri Melenggang, Sungai Talan, Bukit Sempit, Palong, Bayai, Simpang Pertang, Paloh (sekarang Pasoh), Juasseh dan lain-lain lagi.

Newbold dalam bukunya yang diterbitkan tahun 1839 mencatatkan pernah berlaku perebutan sempadan antara penghulu Jempol dan Undang Luak Jelebu. Ketika ini penghulu Jempol ialah Dato’ Lela Putera Setiawan, Dato’ Penghulu Hassan. Tidak pula diketahui Undang Luak Jelebu yang mana terbabit dalam krisis sempadan itu.(dalam terombo Biduanda Salasilah dikatakan Jempol berebut sempadan dengan Pahang)

Ketika ini menurut Newbold, setiap Undang Luak Jelebu yang dikerjankan di Jelebu, akan dikerjankan semula di Ulu Jempol yang menjadi wilayah luak Jelebu ( kerana ada satu ungkapan pada masa itu ‘Ulu Jempol serambi Jelebu’) iaitu di Kampung Bukit. Penghulu Jempol telah menuntut haknya ke atas Ulu Jempol kerana aliran sungai yang sama. Krisis sempadan ini berakhir apabila Undang Luak Jelebu dengan nasihat Dato’ Batin Rendang telah bersetuju menyerahkan Ulu Jempol kepada penghulu Jempol Dato’ Hassan. Bermula daripada peristiwa inilah wilayah Jempol itu menjadi satu meliputi dari hulu hingga ke kuala sungainya. Di hulu ada satu tempat dikenali dengan nama Titian Teras dan menjadi persinggahan bagi orang-orang pada masa itu dalam perjalanan dari Jelebu ke Pahang. .

Bagaimanapun Luak Jempol bukanlah wilayah Jelebu..kerana sudah nyata bahawa sungai Jempol tidak mengalir ke Jelebu  Tetapi entah kenapa sebelum itu Dato’ Batin luak Jempol lebih menghadap ke Balai Undang luak Jelebu daripada ke Johol. Manakala untuk mendapatkan calun  penghulu, penduduk Jempol tidak juga mengadap ke Jelebu tetapi ke Johol mereka mengutus tiga orang wakil: -(1)  To’ Pengiran ( ii) To’ Maliga, dan(iii) To’ Poyang menghadap Undang Luak Johol .

Apabila Dato’ Johol mengirimkan calun penghulu seorang perempuan, mereka menolaknya. Tidak seperti luak Ulu Muar yang bersedia menerima anak perempuan untuk jadi penghulu  Orang-orang di Jempol lebih bersedia menerima seorang anak kecil  untuk dijadikan penghulu mereka asalkan dari suku Waris Biduanda asal keturunan undang Luak Johol.
 Setelah kedatangan raja Minangkabau memerintah di Seri Menanti, luak Jempol dijadikan pula sebagai salah satu darjpada ‘luak tanah mengandung’.

PENEROKA AWAL DATO’ KOMO HJ DUAJI  MENULIS:-

Terdapat berbagai pendapat mengenai penerokaan awal luak Jempol ini. Kesahihan dakwaan ini masih tidak dapat ditentukan, Ada cerita  yang mengatakan bermula daripada sembilan orang dalam satu kumpulan yang bersahabat karib membuka kawasan tersebut. Mereka dikatakan berasal dari Sumatera. Bersama-sama mereka terdapat juga pengikut-pengikut atau anak-anak buah yang ikut mencari penempatan baru.

Penduduk di Tanah Minang juga mengakui bahawa anak-anak Minangkabau digalakkan merantau dengan meninggalkan kampung halaman mereka bagi mencari pengalaman hidup. Bersesuaian  dengan ungkapan yang menyebut: -
Keratau madang di hulu
Babuah babungo balun
Marantau bujang dahulu
Dirumah paguno balun

Rombongan tersebut singgah di Merbau Seratus (Pasir Besar)  Di situ mereka membuat penempatan. Apabila sudah membuat penempatan di Pasir Besar mereka mudik lagi ke hulu dengan meniggalkan beberapa keluarga menetap di sana. Cara mereka meneroka sesuatu tempat juga mempunyai persamaan dengan peneroka-peneroka di Ulu Muar.

Perjalanan melalui sungai tersebut hingga sampai ke beberapa cabang lagi yang mengalir masuk ke sungai Muar. Mereka berpecah di situ. Sebahagian mudik masuk sungai Jelai terus ke Johol, manakala sebahagian lagi memasuki Pahang.

Kumpulan yang mudik mengikut sungai Jempol terus mencari penempatan di situ yang sesuai untuk bercucuk tanam. Di kawasan yang mereka terokai itu memang sudah didiami oleh anak tempatan suku kaum Asli. Masyarakat mereka belumlah ramai. Kampung yang mereka terokai itu dikenali sebagai ‘Penarikan’ sebagai golongan migran mereka  meminta izin daripada anak-anak tempatan untuk memulakan penghidupan baru disitu.

Hubungan mereka dengan anak-anak tempatan terjalin akrab hingga berlakunya semenda menyemenda antara satu sama lain. Setelah penduduknya bertambah ramai melalui semenda menyemenda itu, mereka membentuk pentadbiran di bawah seorang ketua. Disebabkan golongan migran berkenaan lebih memahami peraturan dan pentadbiran, dilantiklah ketua dari puak mereka.

Bagaimanapun demi menjaga jalinan hubungan dengan anak-anak tempatan, mereka juga dibawa sama dalam pemerintahan. Bermula daripada sinilah terbentuknya sepuluh suku di kalangan penduduk di Jempol, dengan tiap-tiap suku mempunyai ketua yang diberi gelaran Dato’.Lembaga’.

Demikianlah fakta tulisan  (yang telah diselitkan sedikit sedikit pembetulan) oleh YM Dato’ Komo Hj Duaji bin Bakar dalam Buku Luak Tanah Mengandung tentang asal nama Jempol dan perkara-perkara yang ada hubungkait dengannya diperturunkan dengan menyalinnya secara panjang lebar untuk dapat dinilai bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan