Khamis, 20 September 2012

Prakata

1.        SEKAPUR SIREH

Sudah tentu tidak akan timbul idea menulis ‘KERTAS KERJA BIDUANDA WARIS DI LUAK JEMPOL’ ini kecuali apabila menyedari apa yang ditulis dalam ‘BUKU LUAK TANAH MENGANDUNG’ yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan berhubung dengan waris ini saperti yang disusun oleh Dato’ Komo Hj Duaji bin Bakar itu tidak lengkap dan tidak menepati dengan apa yang diketahui dan diamalkan di dalam waris ini.

Sebagai seorang anak waris Biduanda saya rasa berdosa kalau tidak berbuat sesuatu bagi membetulkan fakta yang salah itu supaya sejarah tidak dibohongi dengan meyakini perkara yang salah disangka benar dan sebaliknya.

Saya telah memaklumkan perkara ini kepada setiausaha Penyelidikan Budaya Muzium negeri Tuan Haji Muhammad bin Tainu dan salinan kepada Yang Mulia Dato’ Penghulu Luak Jempol dalam surat yang bertarikh 24hb Disember 2001.

Saya bersyukur kerana masih berkesempatan mengetengahkan catatan terombo ini sebagai satu  sumbangan yang mungkin tidak seberapa kepada anak waris yang saya kasihi.

Sekian,                                                    
                                                                                
(Sekapur sireh ini pindahan dari ‘KERTAS KERJA BIDUANDA WARIS DI LUAK JEMPOL’ yang dibentang dan dibincang dalam perjumpaan Buapak-Buapak Biduanda Waris pada 27hb Februari 2004 di Balai Raya kg Tampin/Pus)



2.         SEULAS PINANG

Risalah Terombo Biduanda Waris Dalam Konteks Pentadbiran Adat Di Luak Jempol ini adalah lanjutan dari ‘KERTAS KERJA BIDUANDA WARIS DI LUAK JEMPOL’ yang telah saya sediakan dan telah dibentang serta dibincangkan dalam kerapatan Buapak-Buapak termasuk beberapa orang Soko Biduanda Waris di Balai Raya Kampung Tampin, Tengkek pada 27hb Februari 2004 yang lalu. Walaupun kerapatan itu bukanlah khusus untuk membincangakan kertas kerja ini sahaja.

Kerapatan itu dihadiri oleh seramai tujuh belas (17) orang termasuk YM Dato’ Umbi Ramli bin Md Yusop dan Dato’ Batin Jempol Hj Zainuddin bin Hamzah. Iaitu:-

1.      YM Dato’ Umbi Ramli bin Md Yusop
2.      YM Dato’ Batin Jempol Dato’ Hj Zainuddin bin Hamzah
3.      Dato’ Sialang Puteh Razali bin Md Dom (perut Sesilah)
4.      To’ Cincang Ghazali bin A. Rashid         (perut Cincang)
5.      To’ Lela Menteri Hj Baharum bin Taam  (perut Jawa)
6.      To’ Perba Hj Mohd Deli bin Ayut            (perut Menteri)
7.      To’ Menteri Hj Mohd Diah bin Yusof      (perut Menteri
8.      To’ Lakmana Hj Abu Samah bin Taam  (perut Sesilah
9.      To’ Siamar Menteri Hj Ujang bin Yusop (penyusun)
10. To’ Mengkara Abd Razak bin Sirat        (perut Cincang)
11. Puan Hjh Tiamin bt Merman                  (perut Paduka Tuan)
12. Puan Hjh Zainon bt Atin                         (perut Cincang)
13. Puan Hasmah bt Md Dom                      (perut Sesilah)
14. Puan Siti Habsah bt Latif                        (perut Sesilah)
15. Puan Dara bt Lanjung                            (perut Jawa)
16. Puan Halimah bt Ibrahim                        (perut Menteri)
17. Puan Banah bt Samat                            (perut Sesilah)

Selepas mengambilkira semua pandangan dan cadangan dari Buapak-Buapak dan Ibu-Ibu Soko serta nasihat daripada YM Dato’ Umbi dan Dato’Batin Jempol maka risalah ini disusun semula untuk lebih menepati fakta yang sebenar dan dengan itu diyakini boleh dijadikan rujukan oleh generasi yang akan datang bagi mengenali siapa dan bagaimana letaknya kedudukan pesaka-pesaka adat yang terdapat di dalam Suku Biduanda Waris di Jempol.

Semasa menyusun buku ini saya sempat membaca sebuah tulisan Dato’ Paduka Tuan Dato’ Abd Rahman bin Ahmad yang bertajuk ‘Sejarah Asal Usul Jempol Luak dan Suku’.  Walaupun tulisan itu sebenarnya mengkesampingkan Suku-Suku Biduanda Waris di Ulu Jempol yang dinyatakan cuma ada satu suku sahaja berasaskan Minangkabau walaupun sebenarnya di Ulu Jempol ada 5 perut suku Biduanda satu bertaraf tempatan dan 4 mendatang yang juga setaraf dari segi adat kerana semuanya berasal dari rumpun yang sama iaitu keturunan ‘Baka’ Biduanda Waris  Dato’ Batin Mahagalang.
Namun bagaimanapun tulisan itu ternyata dapat memberikan panduan dan sumbangan dalam memperlengkapkan pengenalan kepada suku-suku Biduanda di Jempol.

Sebenarnya saya bukanlah seorang yang cukup mahir dalam penulisan ini tetapi kita patut menghormati kata orang tua tua ‘Kalau tak ada rotan, akar pun berguna juga’  bahkan sebenarnya Terombo Biduanda Waris belum pernah dibukukan. Kebanyakan faktanya saya terima secara lisan dari Almarhum Dato’ Batin Ibrahim bin Amin, Batin Jempol ketujuh. Kerana itu fakta yang melibatkan Perut Salasilah / Sialang Puteh agak lebih terperinci sedikit kalau dibandingkan dengan Perut perut yang lain.

Walaubagaimanapun diatas usaha yang sangat sedikit ini, memang masih ada juga terdapat sebarang kekurangan, kesilapan dan ketinggalan, saya dengan rendah hati mengharapkan beribu maaf dan sedia menerima sebarang teguran-teguran ikhlas yang membina.

                                            
                                                 
                                                                                        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan